Keluarga

Anak Merajuk Tak Bertegur Sapa, Jangan Ambil Ringan Tapi Kena Bertindak! 

Setiap anak ada sahaja ‘perangainya’ yang kadang-kadang memang boleh buat kita sebagai ibu ayah marah terhadap mereka.

Pun begitu, marah kita pada asalnya untuk tujuan menegur dan mendidik. Namun penerimaan anak-anak ada sahaja dibantahnya hingga menyebabkan timbul rasa merajuk dan memberontak dalam diri mereka hingga tidak mahu bercakap, membisu seribu bahasa!

Andai situasi ini terjadi, bagaimana cara perlu kita bertindak?


Ini adalah punca asal mengapa wujudnya situasi ANAK TIDAK BERTEGUR SAPA dengan ibu atau ayah selama berminggu-minggu atau setahun lamanya.

Ia bermula dengan perangai MERAJUK KECIL tetapi akhirnya anak-anak sanggup jadi DERHAKA dengan cara tidak mahu bertegur sapa dengan ibu bapa mereka.

Sudah selalu sangat saya dengar cerita tentang anak-anak remaja yang tidak bertegur sapa dengan ibu bapa walaupun tinggal sebumbung.

Malah beberapa minggu lalu, salah seorang anakanda saya sendiri bercerita tentang seorang kawannya yang sudah 2 minggu tidak bercakap langsung dengan ibunya sendiri di rumah.

Daripada sudut pandang agama, memang sudah jelaslah bahawa ini adalah satu dosa yang sangat besar. Saya tidak perlu huraikan lebih lanjut.

Namun apa yang ingin saya TIMBULKAN PERHATIAN di sini ialah bagaimana ini boleh BERMULA.

Ramai ibu bapa tidak perasan, kesanggupan tidak bertegur sapa dengan ibu bapa ini bermula dengan perangai marah atau merajuk dengan ibu bapa lalu melarikan diri dan MENGURUNG DIRI di dalam bilik.

Sebagai contoh, katakan anak buat satu kesalahan dan kemudian kena marah dengan ibu bapa.

Anak ini terus merajuk dan melarikan ke dalam bilik, tidak mahu keluar. (Atau melarikan diri dengan cara keluar dari rumah).

Bukan itu sahaja, kadang-kadang dia melarikan diri masuk ke dalam bilik sambil menghempaskan pintu bilik dengan sangat kuat.

Apa tindakan ibu bapa apabila ini berlaku? Tidak ada.

Ibu bapa biarkan sahaja dia merajuk dan berkurung diri dalam bilik. Alasannya, kalau dia dah penat atau lapar nanti, keluarlah dia.

Berapa lama sangat dia nak merajuk dan berkurung begitu kan?

Memang betul, dia akan keluar dan mungkin berhenti merajuk bila lapar atau perlukan sesuatu daripada ibu bapa.

Masalahnya, apabila tidak ada tindakan daripada ibu bapa, anak-anak RASA perangai itu adalah TIDAK SALAH. Jadi ia akan diamalkan.

Tapi, satu MASALAH yang ibu bapa tidak nampak ialah mereka telah mewujudkan satu KEBENARAN atau ‘OPTION’ untuk anak-anak

Tunjuk rasa marah dengan melarikan diri daripada ibu bapa.

Tunjuk rasa marah dengan menjauhkan diri, menjarakkan diri dan tidak bercakap dengan ibu bapa.

Lebih memburukkan keadaan, apabila anak mengurung diri tidak mahu bercakap dengan ibu bapa, si ibu bapa pun mahu ikut sama merajuk juga!

Ibu bapa pun merajuk dengan berfikir, “tak nak bercakap sudah, nak tengok berapa lama boleh bertahan tak bercakap dengan mama/papa…”

Boleh pulak Ibu bapa ikut sama merajuk tak nak bercakap dengan anak-anak macam ni.

Aduhai……

Apabila perkara ini berterusan, sampai satu masa apabila anak semakin dewasa, setiap kali mereka marah dan merajuk begini, mereka semakin kurang perlukan ibu bapa.

Mereka mengurung diri dalam bilik dan apabila lapar, mereka cari atau masak makanan sendiri di dapur. Sudah kenyang, mereka masuk dalam bilik semula.

Mereka seolah-olah sedang berlatih membina ketahanan untuk tidak perlu bertegur sapa dengan ibu bapa.

Apa tindakan ibu bapa? Tidak ada!

Malah ibu bapa pun masih layan merajuk sama dan tidak mahu bertegur sapa dengan anak-anak.

Hasilnya, akan selalu berlaku situasi tidak bertegur sapa ini.

Apabila anak-anak sudah meningkat dewasa dan pandai cari duit sendiri, semakin hilang keperluan untuk mereka bertegur sapa dengan ibu bapa mereka.

Allahu. Minta dijauhkan.

Saya percaya, perangai merajuk dan mengurung diri ini mesti dihalang atau dihentikan sejak anak-anak kecil lagi.

Anak-anak perlu tahu bahawa jika mereka marah atau merajuk dengan ibu bapa, tidak ada ‘OPTION’ atau pilihan untuk tunjuk perasaan dengan melarikan diri atau mengurung diri.

Tidak ada ‘option’ untuk mereka tunjuk perasaan dengan perangai biadab atau kurang ajar dengan kita.

Jika mereka buat juga, pasti akan ada akibat atau hukuman yang lain pula.

Teringat saya cara Emak saya mendidik anak-anak.

Kalau Emak saya suruh anak-anak buat sesuatu dan anak-anak tunjuk perasaan dengan berjalan sambil menghentakkan kaki,

…atau buat kerja sambil mengeluarkan bunyi bising (masa basuh pinggan contohnya), itu memang CARI NAHAS namanya.

Emak saya dengar cerita ada budak merajuk dan lari dari rumah, komen emak saya, “Ha pergi la lari mana nak pergi…..

Tapi kalau balik semula, merasa la aku sebat dulu dengan batang kayu ni ha sebelum masuk rumah!”

(Fuh… berderau darah bila ingat balik kata-kata tu…)

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, fokusnya di sini, anak-anak tidak bertegur sapa atau protes dengan menjauhkan diri daripada ibu bapa adalah satu perkara yang sangat serius.

Kita mesti halang sejak mereka kecil. Jika mereka sudah biasa dengan cara begitu, mereka akan amalkan sehingga akhir hayat mereka.

Akibatnya satu hari nanti, jika ada sedikit sahaja selisih faham dengan ibu bapa, mereka dengan selesa akan memilih ‘option’ untuk menjauhkan diri dan tidak mahu pulang lagi ke rumah untuk bertemu dengan kita.

Related posts