Sebenarnya Apa Maksud Merajuk, Perlu Ke Merajuk?
Apa anda buat apabila ada orang merajuk dengan anda? Dan apa anda fikir semasa anda merajuk?
Merajuk adalah seseorang berkecil hati dan terasa. Ia bermaksud menunjukkan perasaan yang tidak berpuas hati, tidak suka kepada seseorang seperti tidak bertegur, tidak mahu bercakap, tidak mahu berkawan dan macam-macam lagi. Selalunya kejadian merajuk terjadi apabila seseorang tersebut tidak mendapat layanan seperti yang dia mahu, pendapat tidak diterima, tidak dapat menunaikan permintaannya dan banyak lagi alasan untuk merajuk.
Sebenarnya merajuk bukan berlaku kepada perempuan sahaja. Tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira umur. Anak merajuk dengan ibu, lelaki merajuk dengan pasangannya, guru merajuk dengan pelajar dan ibu bapa merajuk dengan anak-anak. Tapi orang berusia merajuk, lagi susah nak pujuk tau.
Maksud Merajuk
Tidak mahu bercakap atau melayan seperti biasa disebabkan tidak berpuas hati dengan respons orang lain. Individu yang merajuk mahukan layanan seperti yang dia mahu tetapi tidak menyuarakan dan mengharapkan orang lain yang memahami kehendaknya.
Sebenarnya ia hanya berpunca emosi yang marah tetapi tidak dapat perhatian. Disebabkan perkara yang dimarah tidak penting atau tidak begitu besar, dia hanya merajuk untuk mengalih emosi daripada perasaan marah. Sebagai contoh, mendiamkan diri tanda marah atau sikap marah yang tidak boleh dilepaskan dan memprotes terhadap sesuatu perkara untuk menandakan dia sedang marah.
Lain pula jika dalam hubungan percintaan, merajuk manja dengan merajuk marah adalah perkara yang berbeza. Dinasihatkan, jangan banyak merajuk marah ya, nanti pasangan anda mula give up. Anda pula penat nak pujuk hatinya.
Merajuk Atau Marah
Kedua-dua perkara ini adalah sikap yang sukar untuk dikawal. Ia juga bahaya untuk diri sendiri kerana sering merasakan segala pendapat dan perbuatannya sahaja yang betul. Individu seperti ini tidak menerima sebarang teguran. Merajuk hanya mengurangkan perbualan dan tidak mengendahkan kepada orang yang sepatutnya. Marah pula mungkin akan mengeluarkan kata-kata kesat dan membuatkan pihak satu lagi juga akan marah dengan tindakannya.
Erti kata lain merajuk hanya perasaan yang gemarkan perhatian dan tidak mahu pendapatnya ditentang oleh orang lain. Keadaan ini boleh dikawal tanpa ada sebarang berlaku perselisihan faham.
Cara Atasi Merajuk
Merajuk perlu dikawal oleh tuan badan sendiri. Tiada siapa yang mampu menasihati, mengawal dan memberi pandangan terhadap individu yang suka merajuk. Mereka hendaklah mengubah sikap kepada lebih baik, bijak mengawal emosi dan belajar menerima teguran.
Turunkan sedikit ego dan hilangkan perasaan yang mereka sentiasa betul. Memberi pendapat dan menerima pendapat orang lain juga adalah salah satu proses pembelajaran kehidupan. Jangan memandang rendah terhadap orang sekeliling.
Sabar adalah sifat yang terbaik. Sekurang-kurangnya dengan bersabar tiada yang sakit hati dan terasa kerana setiap orang mempunyai perasaan dan ingin rasa dihormati. Tidak semua orang mampu bertahan dengan perangai yang suka merajuk. Jangan sampai anda tiada teman kerana sikap anda yang tidak bertimbang rasa.
Berbincang dengan baik tidak perlu merajuk atau marah. Selagi boleh berfikiran rasional, berfikirlah dengan bijak.